Saturday, 21 May 2011

Dimensi Sabar Dalam Mentaati Allah

Menurut Imam Al-Ghazali , sabar dalam mentaati Allah itu terbahagi kepada tiga;yakni sabar ketika hendak memulakannya , semasa mengerjakannya dan selepas mengerjakannya.

Sabar sebelum memulakan ketaatan ialah kita mampu menahan daripada godaan niat-niat yang lain kecuali demi keredhaan Allah . Jangan sekali-kali mengharap pujian , pengiktirafan dan penghargaan daripada manusia . Dengan kesabaran , kita mampu menangkis sifat riyak atau syirik kecil sebelum melakukan suatu ibadah .

Sabar semasa melakukan ketaatan adalah dengan menahan diri daripada segala kesusahan yang terjadi semasa kita melakukannya . Umpamanya apabila menutup aurat , tentulah ada sedikit rasa panas , tidak selesa ( buat pertama kalinya ) , disindir orang dan sebagainya . Namun kita terus istiqamah untuk melakukannya walau betapa sukar sekalipun fizikal , emosi dan hati kita menanggungnya .

Manakala sabar selepas melakukan ibadah pula adalah dengan menahan diri daripada bersifat riyak (menunjuk-nunjuk) , sum'ah (suka mendengar pujian) dan  ujub (berasa hairan dengan kemampuan diri). Menurut Imam Al-Ghazali , sabar di peringkat inilah yang paling sukar . Ini adalah godaan yang menimpa hati. Jika tauhid tidak dihayati , maka dengan mudah sahaja syaitan menipu lalu terhapuslah segala kebaikan yang dibina.

Dalam sebuah hadis yang panjang, Rasulullah s.a.w. telah menjelaskan bagaimana orang kaya yang dermawan, orang yang membaca  al-Quran dan orang yang telah mati syahid telah ditolak amalannya kerana tidak ikhlas.

2 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...